Artikel

BETULKAN AMALAN ANDA SIRI 1: KONSEP SALAM DAN CARA MELAFAZNYA

April 7, 2012
Konsep salam dan cara melafaznya
(satu penerangan ringkas)

Oleh USTAZ HAJI MOHAMAD BIN SHAFIE
Penasihat Agama,
Masjid Nurul Yaqin SS 7,
Kelana Jaya, Petaling Jaya.

MUQADDIMAH


SALAM ialah cara Allah mengajar kita menghormati sesama makhluk malah memerintahkan supaya tatacara ini dibudayakan. Justeru “SALAM”, walaupun nampak mudah dan ringan, namun ia bersangkutan/mengcakupi aspek ‘aqidah, ibadah dan akhlak. Ia merangkumi ucap selamat, doa, tawaran persahabatan, pengenalan keagamaan, ikatan keagamaan dan sebagainya.

 “Salam” itu sendiri adalah nama daripada nama “asma alhusna” yang membawa konotasi makna yang sungguh besar dan bererti. Ia menjadi alat/wasilah kasih sayang yang menggambarkan nilai-nilai akhlak yang mulia dan menjurus ke syurga.


CARA MEMBERI SALAM

Allah mengajar manusia bagaimana cara memberi salam (melalui al Quran) dengan Allah sendiri memberi salam kepada Nabi-nabi dengan lafaz: (rujuk ayat-ayat berkenaan):

 “ salamu alaika”
“ salamu ‘ala ………..”
Ini diulang lebih daripada 10 kali.

Allah pula mengajar manusia memberi salam dengan lafaz “ assalamu alaikum ……..). Ini diulang lebih dari 7 kali.

Malah memerintah manusia jangan masuk ke rumah melainkan selepas memberi salam. (Surah An Nur ayat 27 dan 61). Dan dalam surah Huud ayat 73, menambah dengan “wa rahmatullahi wa barakatuh”.

Ketika Allah menghormati Rasulullah (saw) di malam Mikraj, maka Allah menyebut “Assalamu Alaika Aiyuhann Nabii wa Rahmatulahhi wa Barakatuh”. Ini jelas menunjukkan tidak ada perkataan “Taala” selepas warahmatulah. Salam dalam Solat, jelas menjadi contoh terbaik yang Rasulallah (saw) ajarkan. Inilah salam yang menjadi rukun ibadat dan bermutu sebagai ibadat.

Salam mendahului perkataan/kalam lain dalam ucapan atau perbualan. Baginda Rasulallah (saw) tidak memulakan perkataan lain sebelum memberi salam, maka ulama merumuskan bahawa makruh memulakan/mendahulukan ucapan lain seperti menyebut nama gelaran, status dan sebagainya sebelum salam, malah tidak disunatkan juga “Basmalah” sebelum salam.

Kitab “at Targhib wat Tarhib” ada menyebut 26 hadits mengenai dan cara memberi salam dan ditambah 17 lagi hadits dalam bab (almusofahah) berjabat tangan.

Lafaz yang betul mengikut sunnah/hadits/para sahabat/tabi’in/ tabi’in at tabi’in dan ulama adalah:

“ assalamu alaika/assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh”

dan elok kita berhenti pada “assalamu alaikum wa rahmatullah” supaya memberi peluang yang lebih baik kepada sahabat kita yang menjawabnya, selaras dengan maksud firman Allah di ayat 86, surah An Nisa’.

Selaras dengan hadits Rasullullah (saw) riwayat Abu Daud, at Tirmizi, al Baihaqi dan an Nasaii, daripada ‘Imran ibni Husain yang bermaksud, “telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah (saw) lantas berkata “assalamu alaikum”, lalu baginda menjawab salam dan bersabda “sepuluh”. Kemudian datang seorang lagi memberi salam “assalamu alaikum wa rahmatullah” maka baginda menjawab lalu bersabda “dua puluh”. Maka datang seorang lagi lalu memberi salam “assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh”, maka baginda menjawab dan bersabda “tiga puluh”

Dan daripada Suhail bin Muaz daripada bapanya “kemudian datang seorang lagi memberi salam “assalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuhu wa maghfiratuh”, maka baginda menjawab dan bersabda “empat puluh” (iaitu kelebihan fadhilatnya). Hal yang sama ada diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Maka mafhum daripada hadits ini, ulama mengatakan bahawa kita bolehlah menambah di akhir salam dengan kalimat yang bersesuaian, tetapi bukan di tengah, seperti kalimah “ta’ala” selepas wa rahmatullah”. Rahmatullah ialah satu frasa yang bersifat tersendiri, dan bukan nama Allah atau gantinama ZatNya.

CARA MEMBERI SALAM YANG SALAH

Di Malaysia, ramai yang memberi ucapan salam dengan betul, malah telah membudayakan salam selaras dengan perintah Allah dan rasulNya. Namun terdapat sebahagian masyarakat termasuk kalangan ahli agama (ustaz) yang masih mengucapkan salam dengan cara yang salah. Mereka menyebut:

“Assalamu alaikum wa rahmatullahi ta’ala wa barakatuh”

Kalimat “TA'ALA” tidak pernah ada dalam sebutan Al Quran dan Hadits Rasulullah (saw). Menyebut demikian adalah menambah perintah Allah dan Rasulullah (saw). Baginda dalam banyak hadits-hadits telah memberi petunjuk yang cukup sempurna mengenai cara memberi salam.

Kita menyebut “Allahu Taala” atau “Suhanahu wa Taala” ketika memuja dan mengagungkan Zat Allah. Kita tidak menyebut “Rahmatullahi Taala” kerana rahmat itu pemberian Allah dan bukan ZatNya. Kita juga tidak menambah “Taala” pada sifat Allah seperti “Rahman/Rahim”. Kalimat seperti Fadzlullah, Maghrifatullah, Ridzwanullah dan sebagainya tidak boleh sama sekali ditambah dengan “Taala”. Jika ditambah, ia menjadi salah di segi konsep aqidah.

Disegi tata bahasa Arab pula “Rahmatullah” itu ialah “mudaf dan mudafu ilaih”. Perkataan Allah disitu berfungsi sebagai pengkhususan atau pembeza jenis “rahmat” itu. Yang terpenting, rangkapan “Rahmatullah” itu menyatakan rahmat itu “makhluk” Allah dan bukan zatNya.

Perkataan “Allah” selepas rahmat dalam rangkapan “Rahmatullah” itu berfungsi sebagai Makrifah (firmative) kepada rahmat yang pada dasarnya Nakirah (defirmative).

Meletakkan perkataan “TAALA” pada bukan nama zat Allah, bererti kita mempersekutukan Allah dengan makhlukNya. Ini sudah pasti salah disegi kesucian Aqidah; jika disengajakan maka ia menjadi syirik.

Terdapat pandangan yang mengatakan boleh di gunakan “TAALA” selepas Rahmat, Ridwan, Maghfirah dan sebagainya dengan merujuk kepada Huraian kitab Tafsir al Qurtubi dan Hadith yang dimuatkan dikitab Tafsir al Alusi. Yang terdapat dalam al Qurtubi itu hanya pada pandangan ulama sahaja tanpa sandaran dalil. Ia bertentangan dengan ajaran al Quran dan Hadith Rasulullah serta amalan ulama muktabar. Manakala hadith dalam kitab al Alusi jelas cetakan yang salah kerana tidak sama dengan hadith yang sama riwayat Muslim dan Bukhari.

Menambah perkataan berlainan dalam susunan salam yang diajar Allah dan RasulNya adalah mendustakan hadits/sunnah Rasulullah (saw). Jika ini dilakukan dengan sengaja, maka adalah dosa besar dan mesti bertaubat segera. (Hadits raiwayat Bukhari dan Al Tirmizi daripada Abdullah bin ‘Amru bin al ‘Aas), bermaksud : “… dan sesiapa yang sengaja membohongi aku, maka ambillah tempatnya di neraka.”

Tetapi jika berlaku tanpa disedari sebagai kesalahan, maka diharap Allah mengampuninya dan memberi taufiq supaya ia dibetulkan. Dan jika ditegur, hendaklah serta merta berhenti.

Amalan salam yang salah ini, malangnya, hanya berlaku di Malaysia sahaja.

Amalan yang salah ini, sewajarnya diperbetulkan segera bagi mengelakan masyarakat Islam daripada terkeliru. Para Pendakwah/ Ustaz yang selama ini tersasul atau tersilap, mestilah membetulkan diri demi kesucian ajaran Allah dan RasulNya.

MENGAPA TERJADI SALAH?

Kebanyakan umat Islam tidak pernah belajar mengenai salam. Mereka lahir dalam masyarakat yang telah ada budaya Salam. Di sekolah-sekolah telah dibiasakan memberi salam, tetapi haqiqat bagaimana cara yang betul, tidak atau jarang sekali diajar. Salam menjadi budaya ikut-ikutan tanpa realisasi makna dan tujuananya.

Ramai kawan atau guru/ustaz yang secara tidak sedar memberi ucapan salam yang tidak selaras dengan hadits dan firman Allah, berterusan sepanjang masa dan keadaan , tanpa teguran dan pembetulan, malahan menjadi bertambah rosak apabila sebahagian ustaz/guru agama, melalui ceramah dan media-media massa terus memberi ucapan salam yang salah. Mungkin sebahagian menganggap soal ini adalah kecil sahaja, tanpa menyedari maksudnya yang suci dan mulia..

“Salam” melibatkan perintah Allah dan RasulNya, dan bersangkutan pula dengan ‘aqidah, ‘ibadat dan akhlak. Mengikut perintah dengan cara yang salah, mengelirukan masyarakat dan menghilangkan berkat, lantas menjadi amalan yang sia-sia.

Wallahu A’lam

RUJUKAN:
1. Al - Quran Ayat-ayat:
    86 Surah An Nisa’
    27 dan 61 Surah An Nuur
    54 Surah Al An’am
    46 Surah Al A’raf
    46 Surah Ar Raadu
    24 Surah An Nahl
    47 Surah Maryam
    73 Surah Az Zumar
2. Kitab At Targhib wal Tarhib
3. Al Mausuat Al Quraaniah – Mohd Kamal al Mahaami.
4. Mu’jam lil alfazul Al Quraanul Karim – Mohamad Fuad Abd Baaqi

Nota: Teks ditulis oleh Hj Baharudin Hj Sulaiman, Bilal 1 MNY Untuk tujuan penebitan di laman web
 

Fiqh Keutamaan Fiqhul Awlawiyyat

January 27, 2012
1. Takrif:
Meletakkan segala sesuatu sesuai pada urutannya secara adil, sama ada berupa hukum, nilai atau amal. Langkah berikutnya adalah memberikan keutamaan dari apa yang seharusnya diutamakan berdasarkan kadar hukum Islam yang benar dan didasarkan atas cahaya wahyu serta akal. Konsep cahaya atas cahaya seperti dijelaskan dalam Surah An-Nur Ayat 35:

 
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Yang kurang penting tidak dapat didahulukan daripada sesuatuyang penting. Apa yang penting tidak dapat didahulukan daripada apa yang lebih penting.

Apa yang seharus daidahulukan wajib didahulukan dan yang akhir mestilah diakhirkan, yang kecil tidak diperbesarkan dan demikian pula yang mustahak tidak diremehkan. Segala sesuatu harus diletakkan secara tepat dan wajar tanpa harus ada berlebih-lebihan. Seperti dijelaskan oleh Ayat 7-9 dari Surah Ar Rahman:


Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,


Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;


Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

Dasar pemikiran ini menunjukkan nilai-nilai, hukum-hukum, amal-amal dan taklif Allah mempunyai peringkat yang tegas dalam pandangan hukum Islam. Ada yang besar dan kecil, ada yang cabang dan asas, ada yang rukun dan ada pelengkap.

(Bersambung)....!

Nota: Pemberian Dato' Hj Mohd Alias Dato' Latfi
 

40 Perkara Yang Membatalkan Iman Menurut Al-Quran & Sunnah

January 22, 2012
Dalam dunia yang mencabar sekarang ini, aqidah umat Islam perlu dijaga agar tidak terpesong sama ada secara sedar atau tidak. Aqidah tauhid adalah pegangan umat Islam. Oleh itu, penerimaan amalan manusia di sisi Allah SWT adalah bergantung kepada keikhlasan mentauhidkan Allah SWT.

Sesungguhnya kemurnian dan ketahanan iman seseorang Muslim bergantung kepada keyakinan dan keikhlasan mematuhi dan mengamalkan atau melaksanakan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan.

Seandainya seseorang muslim itu mengingkari dari ajaran Al-Quran dan Sunnah, akan menyebabkan iman rosak dan binasa. Antara 40 perkara yang boleh membatalkan iman yang telah disusun oleh Drs Hanafi Mohamad ialah:

  1. Syirik
  2. Meninggalkan Solat fardu
  3. Meninggalkan puasa bulan Ramadhan
  4. Enggan mengeluarkan zakat
  5. Enggan menunaikan haji
  6. Murtad
  7. Kufur terhadap Allah
  8. Mengingkari takdir Allah
  9. Beramal selain mencapai keredhaan Allah
  10. Mentaati selain perintah Allah dan Rasul
  11. Tawakal selain Allah
  12. Memperhambakan Manusia
  13. Berpaling dari peringatan Al-Quran
  14. Mengkhianati amanah Allah dan Rasul
  15. Menyembunyikan kebenaran ayat Allah SWT kerana takut kepada ancaman manusia
  16. Mengubah dan menyalahgunakan ayat-ayat Allah SWT
  17. Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
  18. Mempermainkan kesucian agama
  19. Menghukum dengan hukuman manusia dan menolak hukum Allah
  20. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang dihalalkan Allah SWT
  21. Mengajak umat Islam meninggalkan jidah di jalan Allah
  22. Mengkafirkan sesama muslim
  23. Cinta kepada kehidupan dunia melebihi cinta kepada Allah dan Akhirat
  24. Mengamalkan cara hidup orang kafir
  25. Berpegang teguh kepada adat resam nenek moyang yang berlawanan dengan syariat Islam
  26. Munafik (Nifak)
  27. Beramal dengan riak
  28. Gemar mengamalkan perkara bidaah
  29. Membuar peraturan atau undang-undang yang berlawanan dengan petunjuk Allah dan RasulNya
  30. Tidak beradab terhadap Rasulullah saw
  31. Menghina sahabat Rasulullah saw
  32. Mengangkat orang kafir menjadi pemimpin
  33. Menolong orang kafir mengintip rahsia orang beriman
  34. Memberi amanah kepada orang kafir untuk kepentingan umat Islam
  35. Memohon keampunan dosa bagi orang kafir
  36. Taksub kepada ulama dalam perkara maksiat
  37. Mempercayai tukang tenung
  38. Mengamalkan dan mempercayai sihir
  39. Mempercayai kuasa azimat
  40. Bersumpah dengan selain nama Allah

Wallahu alam

Dipetik dari buku 40 Perkara Yang Membatalkan Iman Menurut Al-Quran & Sunnah Susunan Drs Hanafi Mohamed, Terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, 2009.

Sumbangan Dato' Hj Mohd Alias Dato' Latfi

 

30 Amalan Yang Dilaknat

January 22, 2012
Kehidupan dunia yang sarat dengan pelbagai fahaman dan ideologi telah menuntun umat islam menuju ke lembah kehinaan dengan melakukan beragam amalan yang bukan sahaja dibenci oleh masyaakt, malah mendapat laknat daripada Allah SWT.

Saban hari umat Islam semakin menjauhi amalan yang telah ditunjukkan oleh peribadi mulia Rasulullah SAW sebagai panduan hidup di dunia. Semakin leka umat Islam mengejar impian duniawi, semakin terkebelakang nilai moral yang patut berjalan seiring pembangunan material. Tanpa jiwa yang mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan sungguh-sungguhnya, amalan buruk sudah pasti menjadi darah daging umat Islam dan menjauhkan kita memperoleh rahmatNYA.

Drs H Syahrin Nasution telah membuat kajian dan pencarian berdasarkan al-quran dan hadis telah mendapati ada 30 perbuatan yang dilaknat oleh Allah SAW. iaitu:
  1. Memaki Ibu Bapa sendiri
  2. Derhaka kepada Ibu bapa
  3. Menjadikan orang lain sebagai ayah
  4. bertuan kepada orang lain
  5. Imam yang dibenci oleh jemaah
  6. Tidak memenuhi panggilan solat
  7. Orang yang mengamalkan riba
  8. Minum Khamar (arak)
  9. Sembelihan atas nama selain dari Allah
  10. Membuat gambar makhlok bernyawa
  11. Kahwin cina buta
  12. Meratapi mayat
  13. Meratap sambil menjerit dan mengoyak baju
  14. Menerima dan memberi rasuah
  15. Menukar dan memindahkan tanah
  16. Menyesatkan orang buta di jalan
  17. Liwat (Homoseks)
  18. Mendatangi wanita dari duburnya
  19. Bersetubuh dengan binatang
  20. Tidak berterima kasih kepada suami
  21. Meninggalkan tempat tidur suami
  22. Enggan menuruti kehendak suami
  23. Lelaki menyerupai wanita
  24. Membuat Tatto
  25. Mencukur alis mata dan menjarangkan gig
  26. Menyambung rambut
  27. Menipis (menghaluskan) kulit
  28. Mengerjakan kejahatan di Madinah
  29. Melindungi penjahat di Madinah
  30. Menakut-nakut penduduk Madinah

Wallahu alam

Sumber : Dipetik dari Buku 30 Amalan Yang Dilaknat, Drs. H. Syahrin Nasution, Penerbit Darulnuman, 2006.

Sumbangan Artikel : Dato Hj Mohd Alias Dato Lafti

 

Ibadah Yang Memadamkan Dosa

January 20, 2012
Allah itu bersifat Maha Pengampun lagi Maha Pemurah. Dan Allah itu apabila Dia menjanjikan sesuatu yang baik Dia akan tunaikan dan sekiranya Dia menjanjikan sesuatu yang buruk Dia boleh memaafkan.

Semua manusia terlibat dengan dosa kerana manusia ini bertabiat dan terdedah kepada perlakuan dosa dan kesalahan. Bagaimanapun Allah menyukai jika manusia ini suka kepada taubat serta mengharapkan keampunan dariNYA dan amat murka kepada orang yang tidak meminta dari NYA.

Allah SWT telah menyediakn pelbagi cara untuk manusia bertaubat dan mendapat pengampunan daripada NYA. Penulis buku ini, Rohaizan Baru Mohd Zain menggariskan beberapa kaedah bagaimana manusia ingin menjadikan dirinya Sifar Dosa, antaranya:
  1. Sentiasa Berdoa dan Mengharapkan
  2. Beristighfar
  3. Berwuduk
  4. Menunaikan Sembahyang
  5. Bersedekah
  6. Berpuasa
  7. Menunaikan Haji

Syarat-syarat diterima taubat, penulis buku ini menggariskan 5 perkara, iaitu:
  1. Meninggalkan Dosa serta merta
  2. Menyesal terhadap perbuatan yang dilakukan
  3. Bertekad tidak akan mengulangi dosa lagi
  4. Kembalikan hak kepada tuan punya
  5. Dalam tempoh masa (sebelum terlambat)

Wallahu alam...

Sumber : Dipetik dari Buku Berjudul "Ibadah Yang Memadamkan Dosa" Susunan Rohaizan Baru Mohd Zain Terbitan Pustaka Syuhada, 2003

Sumbagan: Dato Hj. Mohd Alias Dato Lafti
 

15 Amalan Penolak Bala

January 12, 2012
Bala atau musibah yang dialami oleh sesorang mukmin, sama ada besar atau kecil, merupakan balasan Allah atas dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Musibah tersebut sebagai penghapus dosa selama dia bebas dari perbuatan syirik dan dosa besar yang lain sehingga dia bersih dari dosa ketika mengadap Allah pada hari Akhirat kelak yang akhirnya dimasukkan ke syurga.

Apabila dia tidak melakukan dosa seperti syirik, zalim terhadap sesama manusia atau terhadap dirinya sendiri, maka dia akan merasa aman pada hari kiamat dan mendapat petunjuk di dunia dan akhirat.

Bagaimanakah bala atau musibah yang menimpa seorang mukmin dapat menjadi penghapus dosa dan menjadi pahala menggantikan musibah dengan sesuatu yang lebih baik?

Pertanyaan ini telah dijawab oleh Allah SWT dalam firmanNYA yang bermaksud:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan Kepada Allah jualah kami kembali. Mereka ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNYA dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk dan hidayahNYA." (Al-Baqarah: 156-157)

Nabi SAW juga memberikan petunjuk kepad akita apa yang harus diucapkan ketika ditimpa musibah sama ada besar atau kecil dengan mengucapkan kalimat istirja'. Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:

"Hendaklah salah seorang kamu mengucapkan istirja' dalam segala hal (musibah) meskipun yang terjadi pada tali seliparnya, kerana perkara sedemikian tergolong musibah."

Orang mukmin mestilah menghadapi segala musibah dengan tetap, sabar, istiqamah dan mnegharapkan pahala serta keampunana 
Allah swt. Sebaliknya, tidak cepat melenting, marah, menampar-nampar pipi atau mengoyakkan baju, menjerit atau tindakanlain yang tidak selayaknya dilakukan oleh seseorang mukmin.

Bagaimanapun seandainya ba;a atau bencana tersebut menimpa kita, bersangka baiklah dengan Allah swt kerana mungkin ia adalah ujian untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran seseorang. Sesungguhnya kita akan memperolehi hasil kesabaran tersebut di akhirat kelak.

Pengarang, Adil Akhyar dalam bukunya Amalan-amalan Penolak Bala menghimpunkan 15 amalan yang boleh menghindarkan kita semua agar terhindar dari sebarang bencana dunia. Iaitu:

1.    Aqidah Yang Kuat (Beriman Kepada Allah SWT)
2.    Berjuang di Jalan Allah (Jihad untuk kemenangan Islam dan yaqin dengan izin dan bantuanNYA)
3.    Memerangi kemungkaran dan menegakkan Ma'ruf
4.    Kekuatan Berdoa. Doa adalah Senjata orang mukmin.
5.    Menguatkan tali silaturrahim.

6.    Bersedekah (Sama ada dlaam bentuk kebendaan atau Moral)
7.    Berkasih sayang sesama makhluk
8.    Kewajipan ke Masjid. Memakmurkan rumah Allah
9.    Solat Malam atau solat tahajud.
10.  Sentiasa Bertaubat.

11.  Bersyukur
12.  Memuliakan dan memelihara anak yatim.
13.  Sentiasa Menghayati dan membaca Al-Quran.
14.  Berwudhuk dan kekal dalam keadaan berwudhuk
15.  Berbakti kepada kedua ibubapa.

Wallahu' alam

Dipetik dari Buku 15 Amalan Penolak Bala, Karangan Adil Akhyar, terbitan Darul Nu'man, 2006
Sumbagan Info Oleh Dato' Hj Mohd Alias Mohd Lafti 
 

Gerhana Bulan Penuh Malam Ini 10.12.2011 (15 Muharram 1433H)

December 10, 2011



Fenomena gerhana bulan penuh akan dapat disaksikan rakyat Malaysia dan rakyat di rantau Asia Tenggara pada 10 Disember, esok. Kita berpeluang menyaksikannya bermula dari pukul 7.34 malam esok sehingga 1.30 pagi Ahad. Kali terakhir gerhana bulan ini berlaku pada 16 Jun 2011 (15 Rejab 1432H).

Pegawai penyelidik Agensi Angkasa Negara Redzuan Tahar berkata gerhana dapat dilihat dengan mata kasar mulai 8.46 malam, manakala fasa umbra bermula dari 10.06 malam dan akan berlanjutan kira-kira 51 minit.

Ayuhlah sama-sama kita raikannya dengan solat sunat gerhana bulan. Rasullullah S.A.W bersabda : Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”

HUKUM SOLAT GERHANA
Sunat Muakkad – مؤكدة

CARA-CARA SOLAT
Dua rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat.

WAKTU
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

TEMPAT
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :Assolatuljamiah!!
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

    (1) Lafaz niat untuk gerhana bulan.



         “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.


    (2) Lafaz niat untuk gerhana matahari



         “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan-سر, manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring- جهر

Dipetik daripada : EKELEH.COM
 

Biodata Dr Zakir Naik

November 19, 2011

Zakir Naik

Dr Zakir Abdul Karim Naik (lahir 18 Oktober 1965 di Mumbai ) merupakan ulama, pendakwah dan penceramah dengan tajuk utama perbandingan agama. Beliau doktor perubatan setelah mendapat Sarjana Perubatan dan Bedah (MBBS) dari University of Mumbai . 1991 berhenti dari kerjaya doktor perubatan dan beralih kepada bidang dakwah .

Zakir Naik (44) adalah pengasas dan presiden Yayasan Penyelidikan Islam (PRF) yang memiliki channel TV Keamanan di Mumbai,India. Beliau mendapat inspirasi dari Ahmed Deedat - rakyat Afrika Selatan keturunan India . Tujuannya untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan remaja Islam yang meragui agamanya sendiri dan merasakan Islam agama kuno.

Larangan ke Britain

Pada 18 Jun 2010, Zakir Naik dilarang memasuki Britain dan memberi ceramah di Sheffield utara England kerana pendirian kerasnya. Beliau dituduh menggalakkan keganasan dan menentang idea George W Bush tentang peristiwa 9/11.

Kontroversi dan Kritikan

  • Sekiranya Osama bin Laden menentang musuh Islam, maka umat Islam hendak menyokongnya. Jikalah Osama penganas berjuang menentang pengganas, maka setiap umat Islam hendaklah menjadi penganas.[2]
  • Jika mendokong kebebasan bersuara, maka jurucakap muslim hendaklah dibenarkan berucap. Sebelum ini ulama Qatar Yusuf al-Qaradawi dan Abu Ameenah Bilal Philips muslim dari Jamaica dilarang berceramah di Sheffield Arena, London's Wembley Arena dan LG Arena di Birmingham NEC.[3]
  • Walaupun kempen anti Islam meningkat, tetapi 34,000 rakyat Amerika Syarikat memeluk agama Islam dari September 2001- Julai 2002. Edward Said menulis dalam majalah Time bahawa 60.000 buku-buku tentang Islam dan Timur telah ditulis antara tahun 1800 dan 1950 sahaja.
  • Ketika kuliah di Universiti Melbourne , Zakir Naik menyatakan bahawa hanya Islam memberi perempuan keadilan sebenar. Pakaian Barat mendedahkan kepada perogolan. Oleh itu wanita hendaklah menutup kepala.
  • Pada 21 Januari 2006 , Zakir Naik berdialog dengan Sri Ravi Shankar tentang konsep Tuhan dalam Islam dan Hindu. Acara ini diadakan di Bangalore , India , 50.000 hadir di Istana Grounds
  • Setelah kuliah dengan Paus Benedict XVI pada bulan September 2006, beliau menjemput berdebat tetapi tiada jawapan.
  • Pada 31 Julai 2008 di Peace TV , Zakir Naik menyatakan peristiwa 9/11 dirancang oleh George W Bush sendiri.
  • Zakir Naik menyatakan Evolusi manusia hanyalah teori, bukan fakta. Saintis menyokong teori itu kerana teori itu bertentangan dengan Bible dan bukan kerana kebenaran. Ramai saintis menentang teori Darwin dan mereka memenagi Hadiah Noble.
  • Beliau memimpin 'Persidangan Damai' 10 hari di Somaiya Ground, Sion, Mumbai dengan cendekiawan lainnya, termasuk politikus Malaysia, Anwar Ibrahim pada 2008.

Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Zakir_Naik

 

Muharram Datang Lagi. Kali Ini Datang Dengan 1433H

November 16, 2011
1.    PENGENALAN BULAN MUHARRAM

MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

2.    SEJARAH KALENDAR ISLAM

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

3.    DOA AWAL TAHUN 1433H DAN DOA AKHIR TAHUN 1432H

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini".



Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Maksudnya :

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

4.    PERISTIWA PENTING
  1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
  2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

     Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.

5. AMALAN-AMALAN SUNAT

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

  1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram): 

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
  12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  13. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

6.    KISAH HIJRAH

RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk.

Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.

Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW).

Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu.

Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.

Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.

Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW).

Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda.

Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.



 

Ceramah Khas : Ustaz Haji Ayub Abdul Rahman Mantan Paderi Besar

April 19, 2011

Insya Allah, Satu ceramah khas akan diadakan di Masjid Nurul Yaqin pada 22 April 2011 Selepas Maghrib. Penceramah jemputan adalah Ustaz Hj Ayub Abdul Rahman, mantan paderi besar kristian. Dijemput semua hadir ke masjid ini pada hari tersebut. Di bawah ini sedikit latar belakang berkaitan diri beliau.

Pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi mampu membuka lembaran baru mengenai 'kemunculan' atau pengganti Ahmed Deedat walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham. Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun. Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Bagaikan jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu. Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu memanggilnya “Ustaz” mahupun “Tuan Haji Ayub”. Komitmen beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005.

Beliau mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978. “Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi” katanya ketika ditemui di Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini. Kesempurnaan yang dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan dalam hidup.

“Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk membawa saya ke mana sahaja. “Ini tidak termasuk tiket-tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi,” katanya yang telah menjejaki 22 negara bagi menjayakan misionari Kristiannya.

Tugas sebagai Biecht-vader iaitu mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati. Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang setenang air di kali selama ini mula terganggu. “Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak memungkinkan seseorang itu menghuni syurga!”

“Apabila saya terbaca ayat itu, hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang. “Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” kata Ayub.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka! “Saya benar-benar sedih kerana mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk ke syurga Allah. “Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini,” jelasnya. Oleh kerana memiliki kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan ‘merayu’ kepada tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.

Namun bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam itu sendiri. Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri. Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.

“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam. “Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama. “Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85 Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih ketakutan.

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)

“Jadi, siapa sebenarnya yang akan rugi di hari akhirat kelak?,” katanya. Menurut Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain. “Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali,” katanya.

Namun 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s. Beliau diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob. “Jadi, tahulah anda dari mana saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam saya,” katanya.

Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu. “Tidak dapat dilupakan bagaimana takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan ketulan-ketulan batu. “Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Demi keselamatan dirinya, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun. “Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat. “Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.

Selama tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai seorang yang baru dalam Islam. Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja kebajikan. Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung minggu, beliau ‘menukar’ statusnya sebagai pemandu pelancong.

“Hujung-hujung minggu saya pasti berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini. “Daripada mereka terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan suasana masjid,” katanya yang telah tiga kali mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.

Kebanyakan mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka panggil sebagai “Muhamaddan”, golongan wanita dinafikan.

Disediakan Oleh
Hj Husin Othman,
SU Masjid Nurul Yaqin
 
Enjin Carian
Info Tasik Galilee

Paras Air Tasik Galilee Hari Ini...
The Sea of Galilee, also Kinneret, Lake of Gennesaret, Lake Tiberias (Hebrew: ים כנרת‎, Arabic: بحيرة طبرية‎), is the largest freshwater lake in Israel, and it is approximately 53 km (33 miles) in circumference, about 21 km (13 miles) long, and 13 km (8 miles) wide. The lake has a total area of 166 km², and a maximum depth of approximately 43 m (141 feet). At 209 metres below sea level, it is the lowest freshwater lake on Earth and the second-lowest lake in the world (after the Dead Sea, a saltwater lake). The lake is fed partly by underground springs although its main source is the Jordan River which flows through it from north to south. (Source : From Wikipedia, the free encyclopedia)

Nabi Muhammad pernah bersabda: "Jika kamu semua melihat panji-panji hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah mereka walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk. Maksudnya ialah Al-Masih Mahdi. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Abu Nuaim & Al-Hakim)

Categories

Categories

CERAMAH ISRAK DAN MIKRAJ
Penceramah:
USTAZ WAN ADAM YAACOB
Tarikh:
Ahad, 17 Jun 2012
Tempat:
Dewan Sekolah KAFA
Masjid Nurul Yaqin SS7
(Selepas Solat Maghrib)

Penampilan Khas:

SHAM KAMIKAZE
Semua muslimin dan muslimat
dijemput hadir